Wednesday 29 July 2009

SURAH Al-HUMAZAH


Surah al-Humazah

1.Surah Makkiyyah,9 ayat.

2.Ibn ‘Abbas berkata al-Humazah bermaksud orang yang mencela,manakala al-Lumazah bermaksud orang yang suka mengaibkan orang lain.

3.Dalam surah ini Allah SWT menyatakan keadaan orang-orang yang rugi.

Kandungan Surah

4.Surah ini bertujuan untuk mengatasi masalah moral yang begitu kronik dalam masyarakat iaitu suka mencela orang lain dengan umpatan yang keji di belakang mereka atau mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang semasa mereka ada bersama.

-Bermula dengan pernyataan tentang azab yang pedih daripada Allah kepada orang-orang yang suka mencela dan mencaci serta menunjukkan kelemahan dan menghina orang lain.

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci pencela (QS 104:1)

-Kemudian surah ini mencela orang-orang yang bersungguh-sungguh mengumpul harta benda di atas dunia seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya.

Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya (QS 104:2)

-Berakhir dengan menempelak dua golongan terdahulu dan menyatakan kesudahan mereka yang buruk iaitu dihumbankan ke dalam api neraka al-Hutamah.

Asbabul Nuzul (Sebab Ayat Ini Diturunkan)

5.’Ata,al-Kalbi dan al-Suddi berkata “ Ayat ini diturunkan kepada al-Akhnas bin Shurayq yang suka mencela orang lain dan mencaci mereka, khususnya Rasul SAW”.

6.Muqatil pula berkata “Diturunkan kepada al-Walid bin al-Mughirah yang mengumpat Rasul SAW dari belakang dan mencela semasa berhadapan dengan baginda.Diriwayatkan ‘Umayyah bin Khalf turut melakukan perbuatan tersebut”

7.Abu Hayyan berkata “Ayat ini diturunkan kepada al-Akhnas bin Shurayq atau al-‘As bin Wa’il atau Jamil bin Ma’mar atau al-Walid bin al-Mughirah atau ‘Umayyah bin al-Khalf,namun ada beberapa pendapat mengenainya dan kemungkinan ia diturunkan kepada mereka semua.Namun,ayat ini bersifat umum dan sesuai kepada mereka yang memiliki sifat-sifat tersebut.”

8.Kaedah umum yang digunakan oleh golongan pengkaji dan ulama’ usul ialah “Sesuatu sebab yang khusus tidak dapat menafikan kenyataan yang terdapat dalam lafaz yang umum.”

9.Surah ini merangkumi 1/6 daripada maksud al-Quran yang menceritakan tentang tuduhan orang-orang yang ingkar.

Tafsir dan Ulasan

10.Firman Allah yakni maksudnya “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pencela” (QS 104:1).Ia bererti kerugian dan azab yang pedih kepada sesiapa yang mengumpat,mencaci dan mencela seseorang di khalayak ramai.

11.Kemudian Allah menyatakan beberapa sifat yang dimiliki oleh golongan ini iaitu “Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya” (QS 104:2).Ia bererti golongan pencaci dan yang suka mengaibkan orang lain adalah golongan yang suka mempersenda,mempermain dan mempunyai sifat ego ke atas orang lain disebabkan terpengaruh dan ada yang sangat mencintai harta benda yang dikumpulkan.Mereka menyangka ia adalah penentu kepada kedudukan dan status seseorang.Sekali lagi mereka melampui batas-batas agama “Dan Yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya)”.(QS 70:18).

12.Firman Allah seterusnya yang bermaksud “Dia (mereka) menyangka harta benda yang dimiliki mampu mengekalkan kehidupannya” (QS 104:3) sehingga tiada kesempatan berfikir tentang perkara-perkara selepas kematian kerana terlalu asyik mengumpulkan harta dan kekayaan.

13.Kemudian Allah menyangkal keras anggapan tersebut dengan berfirman yakni bermaksud “TIDAK, sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam neraka al-Hutamah” (QS 104:4).Larangan dan tegasan ini datang daripada Allah kerana perkara yang sebenarnya tidak seperti yang mereka sangkakan.Bahkan si pengumpulnya akan dicampakkan ke dalam api neraka yang akan membakarnya.

14.Seterusnya Allah membuat penegasan dengan mengemukakan kepada manusia keadaan sebenar api neraka.Allah berfirman yang bermaksud “Dan sudahkah engkau tahu apa dia al-Hutamah”(QS 104:5).Ia adalah api yang terus menyala dengan perintah Allah dan tidak sesaat bahkan kurang dari itu ia akan padam.Ia tidak seperti mancis atau obor yang kita nyalakan yakni kita boleh memadam apinya dengan tiupan atau rendaman di dalam air.

15.Kemudian disifatkan api neraka dengan tiga sifat “Yang naik menjulang ke hati.Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka.Sedang mereka diikat pada tiang yang panjang.” (QS 104:7-9).Hati disebutkan secara khusus memandangkan hati adalah tempat bagi aqidah yang menyeleweng,niat yang jahat,akhlak yang keji (seperti ego) dan punca bagi segala amalan-amalan yang buruk.“Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya) (QS 90:20).Lebih dari itu “Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa Yang membakar!"(QS 22:22).

16.Muqatil berkata “ Pintu-pintu neraka ditutup rapat terhadap mereka.Ia diperkuatkan dengan pasak-pasak besi.Pintu tersebut tidak akan dibuka,hatta angin tidak dapat memasukinya”.

Wallahu’alam.

Rujukan:1)Tafsir Al-Munir Juz ‘Amma.Dr.Wahbah al-Zuhaily.





Allah Bersamamu (New) - Izzatul Islam

No comments:

SURAT CINTA DARIPADA ALLAH SWT