Tuesday, 13 January 2009

Universal Tetap Universal




Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim,

Assalammualaikum Wa Rahmatullah Wa Baraakatuh,

Telah berlaku pertembungan yang dahsyat di antara pendakwah-pendakwah Islam dan puak-puak sekular di merata-rata tempat di dunia.Puak-puak sekular berusaha sedaya upaya untuk mengelirukan Islam di mata pencintannya dan penentangnya.Mereka cuba mencabut Islam dari akarnya dan kemudian digantikan dengan tanaman yang layu dan hodoh.Apabila para penjajah yang dahulu pergi dan keluar dari negara-negara yang diduduki oleh umat Islam,mereka meninggalkan di belakang mereka orang-orang yang boleh membawa ideologi-ideologi mereka.Mereka meninggalkan orang-orang mereka di kalangan umat Islam.Akibatnya,sehingga kini kita dapat melihat di kalangan orang Islam ada yang menentang agama Islam yang suci dan murni ini.


Mereka inginkan orang Islam hidup tanpa panduan Islam dengan menggantikannya dengan panduan yang lebih teruk dan songsang.Islam yang mereka inginkan ialah Islam yang cuma di hati,di masjid,bermusim-musim,dan terpisah-pisah.Dalam bahasa yang mudah,mereka inginkan Islam secara juzu’i.Mereka hanya mengambil Islam hanya pada bab-bab yang tertentu dan meninggalkan sebahagian yang lain dalam Islam.Al-Quran dan Hadis pula ditafsirkan mengikut nafsu mereka.Islam yang mereka inginkan ialah Islam yang mampu memuaskan nafsu mereka.Ada di antara puak-puak sekular ini secara terang-terang menghentam Islam di dalam kata-kata mereka.Selalu kedengaran puak-puak sekular mengatakan “Solat dan puasa dah buat,cukuplah.Undang-undang Islam tak sesuai lah nak digunakan di zaman ni,sebab boleh membantutkan kemajuan negara”.Ada juga yang berkata “Saya menjadi ‘model’ (model yang berlawan dengan syariat Islam) untuk cari rezeki yang halal".Kadang-kala di kalangan mereka juga berkata,”yang penting hati saya baik,tak payah tutup aurat pun tak apa”.



Wahai saudara-saudaraku yang ku kasihi,

Tidak dinafikan secara umum umat Islam beriman kepada al-Quran Karim.Namun,bila ditanya tentang ayat,

"Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan Yang seimbang) Dalam perkara orang-orang Yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka Dengan orang merdeka, dan hamba Dengan hamba, dan perempuan Dengan perempuan. maka sesiapa (pembunuh) Yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak Yang terbunuh), maka hendaklah orang Yang mengampunkan itu) mengikut cara Yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) Dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. sesudah itu sesiapa Yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa Yang tidak terperi sakitnya". (al-Baqarah: 178)

Sekali lagi,pelbagai lagi alasan yang diberikan yang bermaksud hukumiah Islamiah tidak sesuai untuk dijalankan.

Tetapi bila mereka ditanyakan tentang ayat seterusnya di dalam surah yang sama yakni al-Baqarah:183,

"Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

Maka puak-puak sekular ini akan beriman dan melakukannya.Padahal,kedua-kedua ayat tersebut dipetik di dalam al-Quran dan mana boleh tidak dilaksanakan jika kita mengaku beriman kepada al-Quran.

Wahai saudara-saudaraku yang ku kasihi,

Fahaman sekular ini ditolak oleh Islam.Allah S.W.T. berfirman,

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian kitab dan kufur dengan sebahagiannya”.(al-Baqarah:85)

Oleh itu,terang lagi bersuluh kita perlu segera membetulkan fahaman kita terhadap Islam.Fahamilah Islam dengar fahaman yang sebenarnya.Imam Hassan al-Banna Rahimallahu menyatakan.

“Islam adalah sistem yang universal,mencakup seluruh dimensi kehidupan.Ia adalah negara dan tanah air,pemerintah dan rakyat,moral dan kekuatan,kasih sayang dan keadilan,peradaban dan undang-undang,ilmu pengetahuan dan hukum,material dan kekayaan alam atau penghasilan dan kekayaan,jihad dan dakwah,serta pasukan dan pemikiran,sebagaimana juga aqidah yang murni dan ibadah yang benar,tidak kurang dan juga tidak lebih.”

Wahai saudara-saudaraku yang ku kasihi,

Tiada tujuan lain untuk ku menegur kalian melainkan rasa bimbang kalian akan tergolong di dalam ayat berikut,

"Sesungguhnya orang-orang Yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi Dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan Yang benar".(an-Nisa’:137)
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan Yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. dan Engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun Yang boleh menolong mereka".(an-Nisa’:145)

Wahai saudara-saudaraku yang ku kasihi,

Sebelum kalian menyesal di mana penyesalan tiada berguna lagi maka segera jadilah orang-orang seperti ayat yang seterusnya,

"Kecuali orang-orang Yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka Dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka Yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang Yang beriman (di Dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang Yang beriman itu pahala Yang amat besar".(an-Nisa’:146).

Wallahu’alam.

17 Muharam 1430Hijrah

14 jan 2009

00:32AM

No comments:

SURAT CINTA DARIPADA ALLAH SWT